Jeti roboh di Kampung Pababag Semporna di bina semula – Abdul Manan

KOTA KINABALU: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah meluluskan pembinaan semula jeti roboh di Kampung Pababag, Semporna, Sabah.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Sulabayan Abdul Manan Indanan berkata, pihaknya berharap agar peruntukkan itu dapat disalurkan segera bagi pembinaan semula jeti yang roboh itu.

“Kebetulan pada pagi semalam ada jumpa menteri berkenaan (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan saya telah menunjukkan video jeti roboh serta murid terbabit.

“Kita berharap pembinaan itu dapat dilaksanakan segera. Kita juga akan berjumpa dengan ketua kampung dan pihak sekolah untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, dalam kejadian jeti roboh di Kampung Pababag, Semporna, Sabah, pagi semalam dua murid mengalami kecederaan ringan di bibir dan tangan akibat terkena serpihan kayu serta simen jeti berkenaan.

Timbalan Pengarah (Sektor Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan Sabah, Abidin Marjan, berkata kejadian berlaku ketika mangsa sedang turun dari bot ke jeti itu.

“Dua guru terjun untuk membantu menyelamatkan mereka. Guru dan murid terbabit dalam kejadian itu kemudian dibenarkan pulang dan tiada kecederaan berat dilaporkan,” katanya.

Abidin memaklumkan, jeti terbabit adalah jeti utama untuk ke SK Pulau Pababag.