KOTA KINABALU: Sabah bersedia menjadi negeri pilihan berdaya maju secara komersial kepada pelaburan hartanah sekali gus destinasi menarik khususnya dalam sektor pelancongan.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong peranan utama sektor swasta dalam pasaran hartanah disamping mendorong momentum ekonomi dalam industri hartanah serta meningkatkan aliran pelaburan di negeri ini.
Katanya, ini sudah akan meningkatkan kepelbagaian ekonomi secara keseluruhan sekali gus mampu mewujudkan peluang ekonomi luas dalam pelbagai sektor di negeri ini.
“Sektor hartanah adalah komponen utama dalam agenda transformasi ekonomi ini, sebahagiannya, kerana rekod prestasinya yang terbukti dalam membangunkan rangkaian sumber manusia dan dalam pusingan rantaian perbekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Lighting-Up Ceremony Jesselton Quay Central (JQC) di sini hari ini.
Dalam hal ini, Hajiji berkata JQC, projek usaha sama antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Suria Capital Holdings Berhad dan SBC Corporation Berhad akan menambah satu lagi transformasi kepada landskap bandar.
“Projek pembangunan bercampur ini terletak secara strategik di kawasan dermaga bandar yang sedang dibangunkan menjadi pusat dengan kemudahan bertaraf antarabangsa.
“Pelan Induk Jesselton Waterfront City, yang mana Jesselton Quay Central dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah adalah bahagian penting dan pembangunan yang berterusan di lokasi ini merupakan petanda baik untuk pembangunan hartanah yang berkualiti,” katanya.
Hajiji berkata, Jesselton Quay bersama One Jesselton Waterfront, serta pelengkap pembangunan di kawasan sekitar, akan mengubah kawasan dermaga ini menjadi satu destinasi yang berwajah baharu di kawasan bandar.
“Pelan dicadangkan ini untuk membangunkan terminal pelayaran antarabangsa sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk meletakkan Kota Kinabalu sebagai terminal pelabuhan serantau dan antarabangsa kini terlaksana,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada fasa pertama projek pembangunan bercampur Jesselton Quay, JQC dibina terletak di kawasan seluas 16.25 ekar di Pelabuhan Kota Kinabalu dan akan berfungsi sebagai lanjutan dari pusat perniagaan Bandaraya Kota Kinabalu.
Sijil Layak Menduduki (OC) dijangka diperoleh pada suku pertama tahun ini untuk JQC yang terdiri daripada dua menara suite komersial 25 tingkat, satu menara i-hotel 25 tingkat, Gallery Shoppes dan kelab rekreasi bertemakan tropika, di podium atas.