Imigresen tahan 14 warga asing terlibat kegiatan pelacuran di Subang Jaya

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan 13 wanita dan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran dalam serbuan di dua hotel bajet di Subang Jaya, Selangor, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata mereka yang terdiri daripada 12 wanita warganegara Thailand, seorang wanita Myanmar serta seorang lelaki Britain berusia 21 hingga 69 tahun ditahan pada 8.45 malam menerusi Ops Gegar yang dijalankan serentak di kedua-dua premis.

Beliau berkata pihak Imigresen turut mengeluarkan notis hadir memberi keterangan kepada tiga pelanggan lelaki tempatan dan hasil risikan mendapati premis itu dikunjungi pelanggan terdiri daripada warga tempatan dan asing.

Beliau berkata serbuan turut menemukan sejumlah kondom dan cecair pelincir bagi tujuan layanan seks.

Katanya semua mereka dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil, di sini untuk siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

— BERNAMA