KUCHING: Jenazah bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang pertama Tan Sri Mohamad Jemuri Serjan, 95, yang meninggal dunia pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Jawa, Kuching pada 3 petang ini.
Van yang membawa jenazah Mohamad Jemuri tiba di tanah perkuburan itu kira-kira 1.50 tengah hari dan urusan pengebumian dilaksanakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurut anak saudaranya, Jumaat Ibrahim, 57, Mohamad Jemuri meninggal dunia di Pusat Pakar Perubatan Normah di sini kerana sakit tua sekitar 8.30 pagi tadi.
“Sepatutnya arwah sudah dibenarkan keluar wad semalam tetapi susulan keputusan ujian darah beliau belum diperoleh, doktor menunda hari ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mohamad Jemuri merupakan Ketua Hakim Borneo yang kelima dan terakhir dengan jawatan itu disandangnya dari 11 Mac 1991 hingga 23 Jun 1991, sebelum dilantik menjadi Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang pertama pada 24 Jun hingga 9 Sept 1994.
Perjalanan karier beliau sebagai pengamal undang-undang bermula sebagai Majistret pada 1 Jun 1965 sebelum dilantik sebagai Penolong Peguam Negara pada 8 Nov 1966.
Mohamad Jemuri kemudian dilantik sebagai Peguam Besar Negeri Sarawak pada 1973 dan memegang jawatan itu sehingga bersara pada 1984.
Beliau bagaimanapun telah ditawarkan semula jawatan kontrak sebagai Hakim Mahkamah Agung pada 31 Dis 1989 sebelum menjadi Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang pertama sehingga bersara semula pada 9 Sept 1994.
Allahyarham mempunyai empat adik-beradik dan beliau merupakan satu-satunya anak lelaki kepada pasangan Serjan Wakijan dan Jede Othman dan tidak pernah mendirikan rumah tangga.
– BERNAMA