KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) secara terbuka mempelawa bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Peter Anthony dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau Datuk Juil Nuantim untuk menyertai parti berkenaan.
Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, parti itu ingin memperkukuhkan gabungan dengan dua pemimpin Kadazan Dusun dan Murut (KDM) sekali gus bekerjasama untuk menyatukan semua KDM di negeri ini.
“Sabah akan lebih baik apabila rakyat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) dapat disatukan dibawah satu bumbung.
“Secara terbuka, saya mempelawa ADUN Inanam Peto Galim dan bekas ahli Parti Cinta Sabah (PCS) untuk turut serta dalam usaha membentuk nasib wilayah kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Jeffry berkata, pilihan raya negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini menunjukkan rakyat di Borneo sudah menolak parti dari Semenanjung selepas banyak undi lebih memihak kepada parti tempatan.
“Sudah tertulis bagi parti dari Semenanjung, sekarang adalah masa untuk rakyat Sabah bersatu dan mengukuhkan pengaruh politik kita di peringkat nasional,” jelasnya.