Azhar tidak terpengaruh kepada penubuhan parti baharu

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) WARISAN Sabah, Azhar Matussin kekal dengan pendiriannya untuk kekal bersama WARISAN sekali gus berjuang bersama kepimpinan sedia ada.

Katanya, beliau terus menghormati mandat serta kepercayaan yang telah diberikan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN16) lalu.

“Dalam tempoh sama, sebagai sahabat turut bersimpati dengan masalah kes mahkamah dihadapi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony.

“Keputusan Peter Anthony mengumumkan keluar dari WARISAN Sabah sudah diduga awal namun ini merupakan satu proses demokrasi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azhar yang juga ADUN Darau berkata, keputusan Peter Anthony ini untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat hanya akan memecahbelahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat khususnya kawasan di pedalaman.

“Kita ucapkan selamat maju jaya kepada Peter Anthony. Sebagai sahabat saya tetap menghargai hubungan persahabatan selama ini,” katanya.

Pada masa yang sama beliau menjelaskan bahawa sokongan akar umbi kepada Parti Warisan masih kukuh namun pemimpin sentiasa berganti sekali gus perjuangan hak rakyat Sabah tetap diteruskan.

“Kita akan terus memperjuangkan menuntut hak rakyat Sabah yang terkandung  dalam  Perjanjian Malaysia 63.

“Apa yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini belum cukup. Kita belum lihat perlaksanaannya. Kita masih mahu selesaikan tuntutan lain berkaitan petroleum, pelantar benua, kuasa ke atas tanah serta beberapa perkara lain,” katanya.

Azhar menegaskan, sebagai pemimpin beliau sentiasa mengambil pendekatan untuk tidak mudah terpengaruh dengan orang lain sekali gus kekal bersama kepimpinan sedia ada.