TONGOD: Satu Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah diwujudkan dalam usaha membangunkan produk pelancongan luar bandar terutama berasaskan komuniti.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, jawatankuasa itu juga akan membantu kementerian dalam merancang serta melaksanakan program pembangunan termasuk menaiktaraf infrastruktur asas pelancongan agar lebih berdaya saing.
Katanya, ini bakal memberi kemudahan terutama kepada pelancong tempatan serta asing untuk mendapatkan maklumat mengenai keistimewaan setiap kawasan pelancongan yang ada.
“Sehingga kini Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) meluluskan sekurang-kurangnya 12 projek di daerah Tongod untuk projek kecil di bawah RM20,000.
“Antaranya termasuk Rumah Besar Cina di mana pemiliknya menerima peruntukan kira-kira RM20,000 bagi menaiktaraf rumah tersebut dijadikan tempat untuk pameran sejarah serta warisan peninggalan budaya masyarakat Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Taklimat Pembangunan Daerah bersama Pegawai Daerah Tongod, Mohd. Fauzi Norbeh di sini semalam.
Jafry turut menggalakkan penduduk kampung untuk membangunkan produk pelancongan yang berpotensi bagi menarik kehadiran orang ramai datang ke kawasan mereka.
Jafry berkata, dalam tempoh sama Majlis Daerah Tongod menerima RM40,000 bagi Menaiktaraf Tugu Heart of Borneo sebagai mercu tanda bagi daerah itu.
“KePKAS sentiasa bersedia memberikan bantuan untuk membangunkan industri pelancongan di Tongod, selain membantu memasarkan produk yang berpotensi di seluruh negara,” katanya.