Jawatankuasa Khas Kabinet tangani isu SSL ditubuhkan di Sabah

KOTA KINABALU: Satu jawatankuasa khas Kabinet ditubuhkan bagi menangani isu Tahap Sara Diri atau SSL semua jenis bahan makanan yang dikeluarkan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jawatankuasa khas itu akan diketuai Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI).

Katanya semua usaha yang diambil kerajaan negeri adalah untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi selain menghasilkan lebih banyak produk pertanian bernilai tinggi untuk komersial bagi merangsang pertumbuhan sektor berkenaan.

Menurutnya sektor pertanian, perikanan dan penternakan mempunyai potensi yang sangat besar untuk terus dibangunkan di negeri ini.

“Penekanan adalah kepada aktiviti rantaian nilai secara menyeluruh iaitu peningkatan pengeluaran, pengumpulan hasil, pemprosesan dan pemasaran yang lebih sistematik,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah 2023 di Wisma Pertanian, di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Selain itu, Hajiji berkata penggunaan teknologi terkini juga perlu diterapkan untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi selain peluasan pasaran eksport ke luar negara.