TAWAU : Program JIWA Komuniti MADANI Merdeka anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah mampu meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peranan Japen dalam menyediakan platform untuk semua masyarakat sentiasa bersatu padu sangat dihargai dan harus diberikan penghargaan.
Katanya, banyak program dianjurkan JaPen Sabah memberikan kesan positif terutamanya dalam mendidik masyarakat cintakan negara dan hidup bermuafakat.
“Saya melihat JaPen Sabah sangat aktif berkolaboratif bersama jabatan kerajaan untuk menganjurkan semua komuniti termasuk di kawasan pedalaman.
“Kita harus menghargai usaha pihak JaPen Sabah lakukan kerana mereka adalah jabatan yang selalu turun padang memberikan penjelasan mengenai agenda dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, JaPen Sabah juga turut giat membawa mesej toleransi kepada semua kaum dan agama di seluruh negeri.
“Saya percaya dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan semua kaum dan agama ini dapat memberikan kesan positif terhadap perpaduan di negeri Sabah.
“Kita harus jadikan perbezaan kaum yang ada di negeri ini sebagai satu keistimewaan dan menjadi model kepada simbol perpaduan serta keamanan di seluruh dunia,” jelas Nizam.
Menurutnya, masyarakat di daerah dinasihatkan supaya tidak cepat terpengaruh dengan berita palsu dan fitnah yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Pastikan berita yang kita dengar serta terima di media sosial itu adalah sahih terutamanya melibatkan perpaduan kaum.
“Sekiranya menerima sesuatu berita pastikan membuat rujukan terlebih dahulu kepada pihak JaPen atau pihak berkuasa dan jangan terus disebarkan,” tambah Nizam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui; Pengarah JaPen Sabah, Jainisah Mohd Noor dan Pengerusi Komuniti Madani Kampung Batu Payung, Basir Yahya.