KOTA KINABALU : Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal lain di simpang Pekan Manggatal, Jalan Tuaran, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner, Kasim Muda berkata, mangsa dikenali sebagai Ambrose Kulis, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami cedera parah di kepala dalam kejadian kira-kira 10.20 malam.
Katanya, siasatan awal polis mendapati mangsa menunggang motosikal secara seorang diri datang dari arah Telipok menuju ke pekan Inanam.
“Selepas tiba di lokasi kejadian, motosikalnya berlanggar dengan sebuah motosikal lain ditunggang oleh seorang lelaki berusia 28 tahun menuju ke arah Pekan Manggatal.
“Punca kemalangan disebabkan motosikal mangsa di laluan lurus melanggar sebuah motosikal lain cuba masuk ke jalan susur Manggatal untuk menyeberang jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kasim berkata, mangsa cedera parah di bahagian kepala sekali gus disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Manakala penunggang motosikal lain cedera di kaki dan mendapat rawatan di Zon Kritikal Hospital Queen Elizabeth (HQE I).
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.