KOTA KINABALU : Anggota penguatkuasa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melakukan operasi memotong sebanyak 21 sambungan paip haram dilakukan penghuni setinggan di sekitar Inanam serta kawasan berhampiran di sini hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, antara kawasan terlibat termasuk di sekitar tepi jalan berhampiran Puspakom; paip utama Jambatan Lembaga Padi; Kampung Likas dan Signal Hill.
“Pada hari ini, anggota penguat kuasa JANS telah melaksanakan operasi pemotongan sambungan paip haram yang dijalankan sekitar Inanam dan beberapa kawasan berhampiran.
“Daripada jumlah yang dipotong, sembilan sambungan telah dipotong di kawasan paip utama jambatan Lembaga Padi dan lapan sambungan dipotong berhampiran jalan dekat Puspakom,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shahelmey merupakan Menteri Kerja Raya berkata, selain itu, JANS turut melaksanakan pemotongan tiga sambungan paip haram di kawasan setinggan Kampung Likas dan satu di Signal Hill.
“Sambungan paip haram ini juga menjadi antara faktor yang mempengaruhi kepada tekanan air rendah sekitar Inanam dan Kionsom.
“Saya difahamkan sambungan paip haram itu menjadi antara punca kepada rungutan pengguna di Inanam dan Kiansom yang mendakwa tekanan air rendah,” jelas Shahelmey.
Menurutnya, hasil laporan diterima kawasan terbabit mempunyai banyak sambungan paip haram manakala pihak penguat kuasa JANS akan terus giat melaksanakan operasi pemotongan dikawasan yang dikenal pasti.