KOTA KINABALU : Presiden Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai ‘bodoh sombong’ apabila tidak membaca serta gagal memahami secara keseluruhan Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin berkata, Muhyiddin hanya membaca sebahagian Perlembagaan Persekutuan demi kepentingan kelompok parti mereka.
Katanya, dalam sidang media, Muhyiddin merujuk kepada Perkara 49a(1) iaitu berkenaan seorang Ahli Dewan Rakyat terhenti sekiranya melepaskan keanggotaan parti politik.
“Ini bermaksud seseorang itu tidak lagi menjadi anggota parti politik atau ketika menjadi Ahli Dewan Rakyat serta bukan sebagai anggota parti politik lalu menganggotai sesebuah parti politik.
“Namun beliau tidak membaca Perkara 49a(2) iaitu seorang ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi Ahli Dewan jika parti politik dianggotainya terbubar, pelepasan keanggotaan parti politik kerana dipilih sebagai Yang di-Pertua dan pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Razeef merupakan Ketua Cabang Tuaran berkata, sangat jelas enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat tidak hilang kedudukan sebagai Ahli Dewan Rakyat mengikut perkara 49a(2)(c).
“Dalam perkara ini, ternyata Muhyiddin dilihat sebagai bodoh sombong berikutan tidak ingin membaca secara keseluruhan perlembagaan berkait Akta Lompat Parti?
“Saya juga hairan dalam begitu ramai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bersama beliau (Muhyiddin) dalam sidang media berkenaan, tidak ada seorang pun menegur atau memperbetulkan kenyataan yang dikeluarkannya,”jelas Razeef.
Menurutnya, secara prinsip perkara ini tidak sepatutnya berlaku berikutan ia akan menjelaskan kelompongan Akta tersebut.
“Namun ketika akta ini dibahas sebelum digubal, pihak pembangkang sendiri tidak membantah kerana pada masa itu mereka berharap ada Ahli Parlimen kerajaan yang beralih menyokong mereka.
“Sebagai seorang bekas Perdana Menteri, Muhyiddin sepatutnya lebih bijak sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kerana rakyat boleh menilai tahap intelektual seorang bekas Perdana Menteri yang mentadbir selama 17 bulan ini,” tambah Razeef.