TAWAU : Masyarakat diingatkan agar tidak mudah terpengaruh kepada anasir luar yang cuba menggugat kestabilan politik di negeri ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kestabilan politik sangat penting dalam memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat terus diberi keutamaan.

Katanya, beliau berharap penduduk kampung tidak mudah terpedaya kepada mereka menyebarkan fitnah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
“Tujuan mereka hanya melemahkan keyakinan rakyat terhadap keprihatinan serta kesungguhan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor juga secara konsisten memberi tumpuan sepenuhnya ke arah memajukan negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya di sini semalam.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dan prihatin terhadap keperluan rakyat merentasi semua lapisan masyarakat.

“Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) jelas membuktikan kerajaan hari ini berusaha menyalurkan bantuan dan melaksanakan pelbagai inisiatif demi kepentingan rakyat.
“Semua ini hanya dapat dicapai melalui kestabilan politik. Oleh itu saya menyeru rakyat agar terus bersatu dan mempertahankan kestabilan demi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan untuk kesejahteraan bersama,” jelas Nizam.