Jangan biarkan perbezaan politik memutuskan silaturahim – Salleh

KOTA KINABALU : Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengingatkan rakyat Sabah, khususnya umat Islam supaya tidak terlalu taksub dalam berpolitik sehingga sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan.

Beliau berkata walaupun perbezaan pandangan politik itu merupakan perkara biasa dalam negara demokrasi, namun ia tidak wajar sampai ke tahap memutuskan silaturahim.

“Di Sabah, kita biasa dengan pelbagai pandangan politik. Itu perkara biasa dalam demokrasi.

“Tapi politik bukan soal peribadi atau emosi. Ia soal kepercayaan dan pendekatan terhadap masa depan negeri.

“Kita mungkin berbeza parti, tapi jangan biar perbezaan memutuskan silaturahim,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.

Salleh merupakan Adun Usukan berkata sempena Bulan Syawal, rakyat negeri ini wajar melihat sendiri para pemimpin dan rakyat pelbagai latar datang ke rumah terbuka, bersalam dan bermaafan.

“Inilah budaya kita di Sabah — saling hormat walau berlainan pandangan.

“Mari kita terus pupuk semangat ini. Sabah lebih kuat bila kita bersatu, walau berbeza pendekatan,” katanya.