KOTA KINABALU: Terlalu banyak karenah birokrasi dengan pelbagai syarat ditetapkan jabatan dan agensi kerajaan dalam melaksanakan projek pembangunan, hanya akan membantutkan pembangunan ekonomi Sabah.
Timbalan Ketua Menterinya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata karenah birokrasi tersebut mengakibatkan banyak projek pembangunan tertangguh, yang pada akhirnya menjadi antara faktor Sabah jauh ketinggalan berbanding negeri lain.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri, menggesa jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri itu mempraktikkan pendekatan, idea serta kaedah baharu yang lebih efisien bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pelaksanaan projek pembangunan.
“Pada saya, apabila kita tangguh projek pembangunan kerana macam-macam birokrasi dan syarat diminta, secara tidak langsung kita yang sabotaj pembangunan ekonomi kita (Sabah), (tetapi) dalam masa sama kita salahkan pula orang lain sebab tidak membantu membangunkan negeri kita.
“Jadi, kita perlu berubah kerana jika tidak, kita tidak akan dapat apa-apa perubahan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pembinaan bangunan ibu pejabat Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) dan pusat komersial The Cove di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani surat pengesahan dan pertukaran perjanjian usaha sama antara LPPS dan Deevin Development Sdn Bhd.
LPPS diwakili Timbalan Pengerusinya Aminah Johan dan Ahli Lembaga Pengarah Dr Ramli Amir, manakala Deevin Development diwakili kedua-dua Pengarah syarikatnya Datuk Chee Chi Vun dan Datuk Simon Chee Chi Nyen.
Dalam pada itu, Bung Moktar berkata bangunan baharu itu yang akan dibina di tanah seluas 2.58 hektar berhampiran Tanjung Lipat di sini, bakal menjadi pencetus perubahan dan mercu tanda baharu Sabah yang memberi impak besar kepada ekonomi negeri, termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Projek pembangunan seumpama ini perlu diteruskan, bagi memastikan ekonomi Sabah dapat dibangunkan selepas tergendala disebabkan pandemik COVID-19,” katanya.
Projek pembangunan bernilai RM1 bilion itu, dijangka dimulakan tahun ini melibatkan dua fasa pembinaan iaitu fasa pertama merangkumi ruang pejabat LPPS dan pusat membeli belah, manakala fasa kedua hotel dan kondominum, dengan masing-masing dijangka siap dalam tempoh empat dan lapan tahun.
— BERNAMA