Jadikan GRS entiti tuntut hak Sabah

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh dijadikan entiti atau saluran khusus untuk menuntut hak Sabah yang belum tertunai seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Naib Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tuaran, Datuk Johari Saiman, berkata GRS perlu menerajui rundingan berkaitan tuntutan MA63 yang selama ini diperjuangkan setiap parti.

Katanya, GRS yang baru didaftarkan sebagai entiti politik rasmi perlu dimanfaatkan dalam usaha itu kerana suara rakyat Sabah lebih kuat jika disalurkan melalui entiti politik besar yang merangkumi pelbagai parti.

“Kalau mahu mendesak janji-janji yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tercapai sepenuhnya, jadikan entiti ini, umpama kerasnya besi keluli dan lembutnya umpama telur penyu, jatuh tidak pecah, dimasak tidak keras,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Jumaat lalu, Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor mengumumkan keanggotaan GRS yang terdiri daripada empat parti iaitu BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta PAS pula sebagai rakan sekutu GRS dalam kerajaan negeri.

Johari berkata, Sabah mampu mencapai lebih banyak hasil melalui GRS seperti kejayaan mewujudkan SMJ Petroleum Sdn Bhd, sebuah syarikat minyak dan gas milik penuh Sabah yang diumumkan Hajiji sebelum ini.

Katanya, menerusi usaha diterajui Hajiji juga, kerajaan Pusat menurunkan kuasa pelesenan perikanan laut dalam kepada kerajaan negeri Sabah.

“Usaha berterusan dilaksanakan kerajaan GRS sebelum ini juga berjaya menarik beberapa pelaburan dalam sektor pembuatan dan pelancongan dengan nilai lebih RM11 billion,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan merealisasikan pembentukan GRS sebagai gabungan politik rasmi di Sabah adalah hasil usaha diterajui Ketua Menteri dalam melaksanakan perubahan dan memastikan Sabah terus stabil serta membangun.

“Lembutnya Hajiji berisi, kerasnya Hajiji lagilah berisi. Memimpin negeri Sabah baru setahun jagung tetapi sudah berjaya menghadiahkan sebutir mutiara utk rakyat Sabah, iaitu GRS.

“Tanam jiwa kita di sini, tanam hati kita di sini, tanam jiwa raga kita di sini kerana GRS itu adalah kita, kerana GRS itu adalah jantung kita, kerana GRS itu adalah nyawa kita.

“Nama pun Gabungan Rakyat Sabah. Jangan bergabung di mana-mana tetapi bergabunglah di GRS kerana GRS itu adalah suara kita, suara anak-anak Sabah,” katanya.