Penangguhan akan terlepas masa terbaik untuk undang-undang Anti-Lompat Parti

KOTA KINABALU: Kerajaan mungkin terlepas masa terbaik untuk meluluskan undang-undang Anti-Lompat Parti dengan menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) dan Undang-Undang Anti-Lompat Parti yang dimahukan oleh rakyat tidak akan dilaksanakan pada dekat masa hadapan.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Yit Jee berkata sebenarnya, rakyat dan kebanyakan ahli politik benci lompat parti.

Katanya samada Barisan Nasional , Perikatan Nasional, Pakatan Harapan (PH) atau parti-parti politik pembangkang lain, kesemua mereka adalah mangsa lompat parti sejak empat tahun lalu.

“Semua ahli parlimen harus ingat perasaan dikhianati oleh sekutu dan rasa malu yang tidak dapat dipertahankan berdepan pengundi dan pemimpin akar umbi selepas bekas sekutu mereka “melompat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri (PM) daripada tarikh akhir awalnya pada 24.3.2022 kerana RUU ini masih memerlukan penelitian lanjut melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan lain, “khususnya” Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Yong, seorang peguam berkata pemimpin politik tidak boleh terbawa-bawa dengan kemenangan sementara kerana rakyat tidak berminat dengan cakap-cakap manis manifesto pilihan raya. Rakyat sebaliknya akan menggunakan standard yang lebih ketat terhadap pemimpin politik.

Katanya pada masa kini, sebarang kemenangan yang mengkhianati kehendak pengundi tidak akan bertahan lama.

Rakyat juga akan ingat ahli politik mana yang menangguhkan RUU Anti-Lompat Parti dan tidak akan menyokong mereka, katanya.

Beliau berkata ahli politik perlu berfikir dari perspektif rakyat dan meluluskan undang-undang Anti-Lompat Parti secepat mungkin.

“Apa yang rakyat mahu ialah ekonomi pulih secepat mungkin dan meringankan beban kos sara hidup mereka. Perang Ukraine-Rusia telah memburukkan lagi inflasi global, terutamanya di Sabah, di mana 80 peratus adalah barangan diimport. Rakyat berharap negara ini lebih demokratik dan mencegah penyalahgunaan kuasa. Anti-Lompat Parti dan Pengehadan Tempoh Jawatan adalah satu langkah penting.

“Oleh itu, saya menggesa supaya kerajaan persekutuan membentangkan kedua-dua RUU ini secepat mungkin. Saya juga berharap agar kesemua ahli parlimen pembangkang akan bersama-sama menyokong RUU ini untuk mengurangkan ketidakstabilan politik di Malaysia,” kata Yong.