Isu Dewan Gimnastik Tular, Lembaga Sukan Sabah Jalankan Siasatan Awal

KOTA KINABALU: Lembaga Sukan Sabah mengakui menerima perhatian meluas susulan penularan video di media sosial yang memaparkan keadaan Dewan Gimnastik di Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

Dalam satu kenyataan, pihak pengurusan memaklumkan siasatan awal telah dijalankan dan tindakan segera diambil bagi menangani beberapa isu yang dibangkitkan dalam video berkenaan.

Menurut kenyataan itu, Lembaga Sukan Sabah memandang serius setiap aduan berkaitan kemudahan awam dan memberi jaminan semua isu akan ditangani mengikut prosedur serta peraturan sedia ada.

Pihaknya turut menjelaskan bahawa usaha penambahbaikan sedang dilaksanakan, termasuk melalui peruntukan khas, bagi memastikan pengguna berasa selamat dan selesa ketika menggunakan kemudahan sukan di bawah pengurusan mereka.

“Isu yang ditularkan tidak mencerminkan sepenuhnya usaha dan komitmen kami dalam menyediakan kemudahan sukan yang berkualiti,” menurut kenyataan tersebut.

Lembaga Sukan Sabah turut mengalu-alukan kerjasama serta maklum balas orang awam sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menambah baik pengurusan dan perkhidmatan kemudahan sukan di negeri ini.