TAWAU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dihanyutkan arus banjir dalam kejadian membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua buah motosikal di Kampung Sungai Udin, di sini, malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.34 malam itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 berhubung insiden mangsa dihanyutkan arus deras banjir di kawasan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, berdasarkan maklumat awal, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa dua buah motosikal cuba meredah jalan yang dinaiki air sebelum dihanyutkan arus deras.
“Pasukan BBP Tawau digerakkan ke lokasi kejadian dengan jarak perjalanan kira-kira 45 kilometer dan tiba pada jam 10.47 malam.
“Empat mangsa terbabit dalam kejadian itu, terdiri daripada dua lelaki berada di dalam kenderaan pacuan empat roda serta dua penunggang motosikal yang menumpang di bahagian belakang kenderaan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, tiga mangsa berjaya diselamatkan dalam keadaan selamat manakala seorang lagi dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus banjir.
“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan kaedah pencarian permukaan di sepanjang tebing sungai dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh,” katanya.
Beliau berkata, operasi SAR melibatkan lapan anggota BBP Tawau dibantu Pasukan Bomba Sukarela Merotai dan Pasukan Bomba Sukarela Umas, selain sokongan agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Mangsa yang hilang akhirnya ditemukan pada jam 7.15 pagi oleh seorang pekerja ladang kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.
“Mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, selepas memastikan keadaan selamat dan tiada ancaman lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.44 pagi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko meredah laluan yang dinaiki air terutama ketika hujan lebat berterusan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
