KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melawat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (lJN) di sini.
Ismail Sabri yang tiba pada 5.35 petang tadi dilihat melambai tangan dari kenderaan rasmi beliau ke arah pengamal media yang berkumpul di perkarangan IJN.
Perdana menteri meluangkan masa kira-kira sejam di IJN.
Beberapa pengamal media mula berkumpul di luar IJN sejak 12 tengah hari tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini status kesihatan Dr Mahathir dan difahamkan IJN akan mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara itu.
Sementara itu, Ismail Sabri dalam hantaran di akaun Twitternya berkata semasa menziarahi Dr Mahathir, beliau turut bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Saya turut bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di IJN tadi dan berharap keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad terus tabah,” katanya.
Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Jan selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Jan.
Pada 8 Jan, beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.
— BERNAMA