SANDAKAN : Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan telah mengadakan tiga program kemasyarakatan secara serentak di Pasar Malam Downtown, Bandar Sandakan, semalam.
Ia termasuk program PDRM Bersama Pelanggan, “High Profile Policing” dan Engagement Amanita.
Kesemua program yang dijalankan adalah sebagai salah satu inisiatif bagi mendekatkan PDRM bersama masyarakat dalam usaha membendung kegiatan jenayah terutamanya di daerah Sandakan.

Program seumpama juga dapat memberi informasi mengenai kegiatan jenayah serta memberi peluang kepada orang awam untuk mengutarakan sebarang persoalan dan menyalurkan maklumat kepada pihak PDRM.
Program itu turut melibatkan pameran pencegahan jenayah dari beberapa jabatan di bawah PDRM termasuk Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK).

Turut diadakan adalah perkhidmatan semak saman oleh BSPT bagi memudahkan orang ramai untuk menyemak sekaligus melunaskan bayaran saman.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt Ramasamy Kuppan bersama Ketua-Ketua Bahagian.