Bung Moktar gesa Kerajaan Negeri ambil tindakan segera masalah air di UMS

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menggesa Kerajaan Negeri agar lebih cakna serta mengambil tindakan proaktif bagi menangani masalah bekalan air bersih di Unversiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlarutan sejak sekian lama sehingga menjejaskan kehidupan penunutut di unversiti tersebut.

Katanya tidak timbul isu samaada peruntukan kilat yang diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM3 juta untuk menangani masalah air di UMS disalurkan terus kepada UMS atau Kerajaan Negeri.

“Tindakan segara dan tuntas perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan krisis air di UMS,” jelasnya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar berkata oleh kerana peruntukan tersebut merupakan peruntukan kilat yang diluluskan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan tindakan segara dan serta merta perlu dilaksanakan agar isu bekalan air ini dapat ditangani segara.

“Jika ia melibatkan pengurusan kewangan untuk melaksanakan projek ini, elak terlalu banyak biokrasi dan jika ia melibatkan soal teknikal Jabatan Air Negeri Sabah perlu membantu agar perlaksanaan projek ini boleh dipercepatkan demi kepentingan beribu pelajar di UMS,” katanya.

Beliau berkata semua pihak iaitu kerajaan pusat, kerajaan negeri dan UMS perlu ada kerjasama untuk menyelesaikan isu ini tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak terutamanya dalam soal penyaluran peruntukan.

“ Semua pihak yang terlibat kena duduk semeja berbincang dan mencari titik akhir penyelesaian isu bekalan air di UMS. Walaupun UMS dalam bidang kuasa kerajaan pusat, kerajaan negeri jangan lepas tangan perlu cakna dan bertindak membantu menyelesaikan masalah ini.

“Tanggungjawab membina modal insan berkualiti merupakan tanggungjawab semua, kita tidak mahu membebankan kehidupan seharian pelajar UMS dengan isu bekalan air bersih sehingga menjejaskan tumpuan mereka kepada pembelajaran,” tegas Bung Moktar.