Ibu bapa atau penjaga boleh pilih untuk tidak hantar anak ke sekolah – Radzi

PUTRAJAYA:  Ibu bapa atau penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah jika bimbangkan ancaman COVID-19 apabila sesi persekolahan bersemuka dibuka semula secara berperingkat bermula 3 Okt ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin dan tiada surat amaran akan dikeluarkan kepada pelajar.

“Namun ibu bapa diminta untuk menulis surat bagi memaklumkan ketidakhadiran anak mereka ke sekolah,” katanya pada sidang media pengoperasian sekolah di sini, hari ini.

Hari ini Radzi mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Okt ini mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri dan turut akan memperkenalkan kaedah penggiliran murid secara mingguan.

Mengulas lanjut, Radzi berkata pemakaian pakaian seragam sekolah adalah tidak diwajibkan dan murid dibenarkan untuk memakai pakaian yang bersesuaian, kemas dan sopan sekiranya pakaian seragam sekolah sudah tidak sesuai untuk dipakai.

“Kita tidak mahu beri tekanan kepada ibu bapa menyediakan pakaian baharu…matlamat kita hanya mahu anak-anak ke sekolah sahaja,” katanya.

— BERNAMA