Hari Sabah bukti semangat kebangsaan, rakyat tidak iktiraf tuntutan luar

KOTA KINABALU : Sambutan Hari Sabah merupakan bukti semangat kebangsaan orang Sabah untuk mendapat kebebasan dari penjajah sekali gus tidak mengiktiraf sebarang tuntutan luar ke atas negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima  Hajiji Noor berkata, kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak boleh dipersoalkan kerana rakyat memilih untuk bersama-sama membentuk negara Malaysia.

Katanya, Hari Sabah diraikan bersama Hari Kebangsaan adalah semangat patriotisme orang Sabah untuk mendapat kebebasan daripada penjajah berikutan Sabah adalah sebahagian daripada Negara Malaysia.

“Masa depan Sabah terletak di tangan kita, oleh itu marilah kita bersama-sama terutama generasi muda untuk menggembleng tenaga, berganding bahu, berusaha sebaik mungkin memastikan negeri ini terus maju dan makmur serta rakyat kekal bersatu padu.

“Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkukuhkan sistem pendidikan, membangunkan infrastruktur yang lebih baik dan memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negeri,” katanya di sini semalam.

Hajiji berkata, berkata sambutan Hari Sabah bukan hanya meraikan pencapaian tetapi juga menghargai dan mengenang kembali perjalanan panjang yang telah dilalui untuk mencapai kemerdekaan.

“Kerajaan negeri pada hari ini sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi dan memperbaiki taraf hidup rakyat.

“Kita percaya, dengan hubungan yang akrab dengan kerajaan Persekutuan, ia akan memudahkan segala urusan termasuk membabitkan Perjanjian MA63, atau perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pembangunan dan kenegaraan,” jelas Hajiji