MN Pusat terima peletakan jawatan Jismit Japong – Annuar Musa

KOTA KINABALU : Muafakat Nasional (MN) bersetuju menerima peletakan jawatan Pengerusi Penaja MN Sabah, Jismit Japong selepas melepaskan jawatannya pada 29 Ogos lalu.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini pemegang jawatan lain tidak terlibat meletak jawatan kecuali jika ada pengesahan melepaskan jawatan secara bertulis dalam kalangan mereka.

Annuar Musa

Katanya, beberapa ahli jawatankuasa membabitkan beberapa penyandang jawatan iaitu Timbalan serta Naib tidak terlibat meletakkan jawatan.

“Kita umumkan di sini MN Sabah tidak dibubarkan, struktur asal masih kekal, hanya Pengerusi Penaja MN Sabah sahaja meletakkan jawatan secara rasmi seperti diumumkan dalam sidang media lalu.

“Jawatan lain tidak terlibat meletakkan jawatan, mereka boleh meneruskan perjalanan MN di Sabah seperti biasa,” katanya dalam sidang media hari ini.

Annuar berkata, berkaitan pembubaran MN Sabah seperti yang diumumkan dalam sidang media oleh bekas Pengerusi Penaja MN Sabah, Jismit Japong baru-baru ini adalah tidak terpakai.

“Setakat ini, Timbalan akan memangku tugas pengerusi penaja dan mereka boleh memperakukan pelantikan jawatan lain kemudian dikemukakan kepada MN Pusat bagi memperkukuhlan lagi Mn Sabah.

“Kita akan umumkan dalam tempoh terdekat Pengerusi Penaja MN Sabah yang baharu selepas mendapat syor daripada MN Sabah,” jelas Annuar.