TAWAU : Golongan wanita dilihat merupakan penentu kemenangan kepada calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, setakat ini statistik dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan lebih 31,000 pengundi direkodkan di DUN Apas manakala 50 peratus daripadanya adalah terdiri daripada kaum wanita.
Katanya, beliau melahirkan keyakinan sokongan kaum wanita serta kerja keras mereka tunjukkan selama ini akan memastikan DUN Apas akan berjaya dikekalkan pada PRN akan datang.
“Kita sangat percaya mereka ini kuat bekerja, fokus serta mengutamakan semangat kerja berpasukan untuk memastikan kerusi DUN Apas ini akan kekal kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kecekalan kaum wanita ini dapat dilihat dengan kehadiran mereka pada hari ini begitu ramai sudah tentu ini akan membakar semangat lebih lagi menjelang PRN akan datang,” katanya di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai cadangan perwakilan agar ada calon wanita dicalonkan dalam PRN akan datang Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, dibawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor semua faktor ini akan diambil kira sekali gus menjadi adalah salah satu agenda akan diberikan perhatian kelak.
“Kita yakin memang akan ada calon wanita akan diberikan peluang untuk bertanding pada PRN Sabah akan datang kelak.
“Namun perkara itu akan dibincangkan bila tiba masanya nanti, kita yakin wanita akan ada tempat mewakili GRS nanti,” jelas Nizam.
Mengenai gesaan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyatakan keperluan untuk UMNO bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Nizam merupakan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah berkata, setakat ini kepimpinan negeri yang ada pada ketika ini terbuka untuk bekerjsama dengan sesiapa sahaja menjelang PRN nanti.
“Adalah menjadi matlamat serta hasrat kerajaan negeri untuk memajukan negeri Sabah serta menyejahterakan rakyat negeri Sabah di semua peringkat.
“Pada saya NGO tersebut berhak untuk menyuarakan pendapatnya, namun kepimpinan GRS juga melihat segala faktor yang akan memberikan kelebihan menjelang PRN Sabah nanti.
“Kita lihat kerajaan GRS bersama Pakatan Harapan (PH) Plus kerjasama ini akan diteruskan pada masa akan datang dan terpulang kepada rakyat untuk menentukan sokongan nanti,” kata Nizam.
