Hari Peringatan Sandakan rapatkan hubungan Sabah dengan Australia dan Britain – Hajiji

SANDAKAN: Kerajaan Negeri mengiktiraf Hari Peringatan Sandakan yang diadakan pada setiap 15 Ogos sebagai tarikh penting yang dapat merapatkan lagi hubungan Sabah dengan Australia dan Britain.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata hari bagi memperingati askar dari kedua-dua negara itu yang terkorban ketika Perang Dunia Kedua menyimpan sejarah yang sukar dilupakan.

Joniston bersama Pesuruhjaya Tinggi Australia dan Britian ke Malaysia serta orang kenamaan lain dan ahli keluarga mangsa perang yang hadir pada Hari Peringatan Sandakan di Sandakan.

Katanya, Sabah, khususnya Sandakan sentiasa mengalu-alukan kedatangan waris dan keluarga mangsa perang untuk memperingati pengorbanan mereka ketika berperang di negeri ini.

“Hari memperingati mangsa perang yang diadakan setiap tahun ini akan membawa hubungan yang lebih rapat di antara Australia, Britain dan Sabah.

“Sabah, khususnya Sandakan sentiasa mengalu-alukan kedatangan waris dan keluarga mereka kerana ini menjadi tempat untuk memperingati,” katanya dalam ucapan sempena Hari Peringatan Sandakan di Taman Peringatan Sandakan, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri memperakui keberanian tentera bersekutu yang bertarung ketika Perang Dunia Kedua.

“Kita bersyukur dan sentiasa mengingati mereka atas pengorbanan dan sumbangan mereka membawa keamanan di rumah kita.

“Hari ini menandakan ulang tahun ke-78 berakhirnya perang pada 1945. Kehilangan tentera bersekutu yang berani masih hidup dalam minda ahli keluarga mereka.

“Justeru, hari ini mari kita sama-sama mengambil sedikit masa untuk memperingati pengorbanan mereka,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga mengiktiraf komuniti tempatan sebagai hero kerana merisikokan diri dan kehilangan nyawa ketika membantu askar bersekutu semasa perang.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan penghargaan terhadap usaha Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan jawatankuasa penganjur atas dedikasi berterusan memberi penghormatan kepada askar yang gugur dan menyimpan sejarah mereka.

Beliau juga berterima kasih kepada Pesuruhjaya Tinggi Australia dan British di Malaysia atas sokongan berterusan bagi memastikan lipatan sejarah itu diingati bersama.

“Adalah sangat mustahak untuk kita, termasuk anak-anak kita, diingatkan mengenai sejarah ini untuk mengetahui kehilangan yang kita pernah alami dan kebebasan yang kita perolehi sebagai gantinya,” katanya.

Terdahulu, Hajiji berkata keinginan untuk keamanan mesti merentas zaman kerana perang dan konflik hanya membawa kemusnahan.

“Mari kita renungkan kefahaman yang mendalam terhadap keamanan dan bahawa perang serta konflik hanya membawa kemusnahan, kedua-duanya tidak boleh dibiarkan berlaku,” kata Hajiji.

 

 

Pix 2 – Joniston bersama Pesuruhjaya Tinggi Australia dan Britian ke Malaysia serta orang kenamaan lain dan ahli keluarga mangsa perang yang hadir pada Hari Peringatan Sandakan di Sandakan.