Hari Malaysia disambut dengan SOP ketat

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Malaysia 2021, yang akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 September ini, dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelak penularan COVID-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek, berkata seperti sambutan Hari Kebangsaan, sambutan Hari Malaysia juga tidak membabitkan penonton awam.

Katanya, persiapan sambutan itu kini mencapai 85 peratus dengan SOP ketat berdasarkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kehadiran fizikal hanya membabitkan 63 orang, termasuk Perdana Menteri dan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah,” katanya ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan saluran TV1, RTM, hari ini.

Mohammad, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2021 berkata kementerian mengambil maklum keadaan semasa peningkatan kes COVID-19 di Negeri Di Bawah Bayu dan langkah awal diambil bagi mencegah penularan.

“Kerajaan negeri Sabah turut menyediakan kemudahan klinik bagi memudahkan ujian saringan calitan COVID-19 dijalankan,” katanya.

Sementara itu, ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini di TV3, Mohammad berkata, tema Malaysia Prihatin dikekalkan pada tahun ini bersesuaian dengan perjuangan melawan pandemik COVID-19, selain menyemarakkan aspirasi Keluarga Malaysia, yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, Mohammad berkata, sejajar saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, sambutan Hari Malaysia juga bakal disambut di negeri lain di Semenanjung dan tidak tertumpu di negeri penganjur sahaja.

Katanya, pelbagai pertandingan dan program sambutan dianjurkan seperti pertandingan deklamasi sajak secara maya, Joget Malaysia TikTok serta pertandingan bercerita untuk kanak-kanak.

– BERNAMA