Hargai sumbangan wanita dalam pelbagai bidang: Azizah

Azizah Mohd Dun

Oleh: Zakaria Damit
KOTA KINABALU: Semua pihak perlu terus menghargai sumbangan wanita dalam pelbagai bidang.

Ketua Srikandi BERSATU Sabah Datuk Azizah Mohd Dun berkata, jasa kaum wanita dalam menjayakan urusan dalam pelbagai sektor nyata tidak boleh disangkal lagi dan kekuatan wanita dalam mengendalikan pengurusan sesebuah organisasi turut boleh dibanggakan.

“Kerana mengenang istimewanya kaum wanita, maka sambutan Hari Wanita Sedunia atau juga dikenali sebagai Hari Wanita Antarabangsa disambut setiap tahun bagi meraikan peranan wanita dalam pelbagai bidang.

“Walaupun hari ini tidak diisytiharkan sebagai cuti umum di Malaysia, namun terdapat pelbagai acara atau aktiviti yang dilakukan dalam meraikannya dengan norma baharu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kewibawaan wanita adalah tiada tandingan dan wanita mampu menggerakkan komuniti cemerlang khasnya dalam pembentukan modal insan.

“Wanita sama ada ibu, isteri, guru, kakak, atau sebagainya perlu dihargai dengan penuh kasih sayang sebagai lambang penghormatan dan peranan mereka yang sangat penting dalam kehidupan seharian.

“Wanita adalah penyumbang kepada kemajuan negara, pembangunan institusi kekeluargaan dan pengukuhan masyarakat penyayang dan realiti dunia masa kini adalah diserikan dengan nukilan-nukilan jari jemari wanita dalam pelbagai sektor,” katanya.

Katanya, walaupun dunia dilanda pandemik COVID-19, kepayahan demi kepayahan mengajar wanita untuk tetap bangkit mendepani cabaran.

Beliau menyeru semua pihak agar menghayati tema Hari Wanita yang sinonim dengan keadaan semasa.

Menurutnya, wanita perlu terus kuat dan tabah dalam mendepani cabaran semasa dan sentiasa bersedia untuk mengorak langkah lebih berani ke depan.

“Kekuatan kita dari dalam, kekuatan kita adalah yang menjadikan kita utuh dengan jatidiri kita, teruslah menjadi wanita yang kuat dan semoga kita terus maju jaya,” katanya.

Sabahnewstoday

Leave a Reply