KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menerima kunjungan CEO baharu Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC), Mohd Azmir Datuk Ramli, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Selasa.
Mohd Azmir, yang dilantik pada 16 September 2025, sebelum ini mengetuai Sekretariat Sabah Logistics Council dan berperanan sebagai Penasihat Teknikal Logistik di Kementerian Kerja Raya Sabah.
Dalam pertemuan itu, Hajiji diberi taklimat mengenai hala tuju baharu SOGDC, termasuk tumpuan kepada perkhidmatan industri minyak dan gas serta perkembangan Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP).
SOGDC, syarikat milik penuh kerajaan negeri, digerakkan untuk memacu pembangunan industri hiliran minyak dan gas, menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.
Langkah ini dijangka memperkukuh Sabah sebagai hab minyak dan gas utama di Malaysia.
