Hasil Sabah boleh cecah RM30 bilion jika hak 40 peratus ditunaikan – Jeffrey

KOTA KINABALU: Anggaran hasil Sabah bagi tahun 2026 sebanyak RM6.43 bilion perlu ditambah dengan Pemberian Khas Hasil Bersih 40 peratus, selain kutipan duti import dan eksais bahan petroleum serta duti eksport minyak mentah, bagi mencerminkan kedudukan kewangan sebenar negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata jumlah hasil yang dibentangkan dalam Rang Undang-Undang Perbekalan Sabah 2026 itu masih belum selaras dengan hak kewangan Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu yang memutuskan Sabah berhak dikembalikan 40 peratus daripada semua hasil yang diperoleh Kerajaan Persekutuan dari negeri ini, selain mengarahkan rundingan antara kedua-dua pihak bagi menentukan jumlah sebenar dalam tempoh 180 hari.

Menurut beliau, sekiranya hak kewangan Sabah dilaksanakan sepenuhnya, hasil negeri berpotensi melebihi RM30 bilion setahun, termasuk Pemberian Khas 40 peratus di bawah Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan yang dianggarkan boleh mencecah sekitar RM20 bilion.

Jeffrey berkata, Sabah juga berhak menuntut duti import dan eksais bahan petroleum yang dianggarkan mampu menjana lebih RM1 bilion setahun, selain duti eksport minyak mentah sehingga 10 peratus nilai ad valorem yang boleh menyumbang kira-kira RM3.6 bilion setahun kepada hasil negeri.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri memperkenalkan mekanisme baharu termasuk cadangan mewujudkan akaun khas di Sabah.

Ini bagi menempatkan semua hasil Persekutuan yang dikutip dari negeri ini, sambil menegaskan Sabah bukan negeri miskin, sebaliknya memiliki kekayaan sumber yang besar dan memerlukan keberanian politik serta tadbir urus telus demi kesejahteraan rakyat.