Rampasan KPDN Sabah melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM30.3 juta

KOTA KINABALU: Nilai rampasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM30.38 juta sepanjang 1 Januari hingga 30 November 2025, mencerminkan skala ketirisan dan pelanggaran undang-undang perdagangan yang masih berleluasa di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah, Peter J. Berinus Agang, berkata jumlah rampasan itu melibatkan 1,534 tindakan kes di bawah pelbagai akta, berbanding RM9.13 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut beliau, peningkatan nilai rampasan itu selari dengan pertambahan ketara aktiviti penguatkuasaan apabila 136,600 pemeriksaan premis dijalankan di kawasan bandar dan luar bandar, hampir dua kali ganda berbanding 67,972 pemeriksaan pada 2024.

“Pemeriksaan dilaksanakan melalui operasi berfokus seperti Ops Tiris, Ops Ria dan Ops Kesan 4.0 bagi membanteras ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi serta memastikan pematuhan undang-undang perdagangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain rampasan, KPDN Sabah turut mengeluarkan kompaun bernilai RM662,250 dan membawa 96 kes ke mahkamah, sementara menerima 1,967 aduan pengguna, dengan 1,861 aduan diselesaikan setakat ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan yang digerakkan oleh 204 pegawai KPDN itu turut melibatkan kerjasama agensi lain termasuk PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Marin, sambil menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat berhubung aktiviti perniagaan yang melanggar undang-undang.