KOTA KINABALU : Industri pelancongan Sabah mencatat prestasi memberangsangkan dengan nilai RM13.7 bilion pada 2024, menyumbang 12 peratus kepada ekonomi negeri, menurut Akaun Satelit Pelancongan Wilayah (ASPW) Sabah 2024.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pertumbuhan 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya menegaskan pelancongan sebagai pemacu utama ekonomi negeri. Keluaran Dalam Negeri Kasar Pelancongan Langsung (KDNKPL) pula meningkat 4.5 peratus, menyumbang RM5.2 bilion kepada KDNK Sabah.
Prestasi ini dipacu oleh peningkatan perdagangan runcit 3.2 peratus, manakala sektor penginapan serta makanan dan minuman naik 3.5 peratus. Dari segi subsektor, perdagangan runcit kekal dominan (47.3%), diikuti penginapan dan makanan-minuman (29.7%).
Sektor lain seperti agensi pengembaraan, perkhidmatan tempahan, kebudayaan, sukan dan rekreasi menyumbang 13.5 peratus, manakala pengangkutan penumpang dan jualan bahan api mencatat 9.5 peratus.
Industri pelancongan juga menjadi penyumbang utama pekerjaan, dengan 387,600 orang terlibat – meningkat 6.9 peratus berbanding 2023. Perdagangan runcit menyumbang 44.5 peratus tenaga kerja, manakala penginapan dan makanan-minuman 41.6 peratus. Kedua-duanya merangkumi 86 peratus tenaga kerja pelancongan Sabah.
Jafry menekankan, data ASPW 2024 penting bagi PKS, pengusaha penginapan, restoran, pengangkutan dan peruncitan dalam merancang perniagaan, serta menjadi rujukan utama kerajaan untuk merancakkan aktiviti pelancongan negeri.
