Warga emas hilang di Kota Belud, SAR disambung

KOTA BELUD: Seorang warga emas wanita dilaporkan hilang di Kampung Tambulion Laut di sini, mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Selasa.

JBPM Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 pagi sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud digerakkan ke lokasi.

Mangsa dikenali sebagai Minun binti Kasim, 83, dipercayai kali terakhir dilihat di kawasan kampung berkenaan sekitar jam 5.30 petang, 16 Disember lalu.

Operasi SAR hari pertama melibatkan 11 anggota bomba, Unit K9 bersama seekor anjing pengesan, serta kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan penduduk kampung.

Menurut kenyataan itu, pencarian tertumpu di kawasan tebing sungai berhampiran jambatan gantung Kampung Tambulion Laut, termasuk pemasangan jaring di empangan sungai bagi mengesan mangsa.

Bagaimanapun, sehingga operasi ditangguhkan pada jam 6 petang, mangsa masih belum ditemui. Operasi SAR akan disambung semula hari ini dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.