Hajiji secara rasmi bersama pemimpin GRS keluar BERSATU berkuatkuasa hari ini

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi keluar meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah berkuatkuasa hari ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan ini dibuat selepas mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

“Kerajaan Negeri yang ditunjangi GRS-BN mengambil kira nasihat Yang di- Pertuan Agong untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.

“Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

“Kami akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia. Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hajiji berkata, dalam tempoh terdekat mereka akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini mereka secara kolektif akan menjadi ahli GRS. 

“Adalah menjadi komitmen kami bersama Sarawak sebagai Blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya. 

“Keputusan kepimpinan BERSATU Sabah untuk meninggalkan BERSATU adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo,” katanya.

Menurutnya, ini kerana di peringkat Persekutuan BERSATU adalah pembangkang manakala GRS berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu.

“Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli BERSATU,” katanya.