Hajiji mahu Semporna jadi hab pelancongan dan ekonomi biru

SEMPORNA: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mahu pembangunan Semporna dilaksanakan secara menyeluruh termasuk penambahan fasiliti bagi memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi biru di daerah itu.

Beliau berkata Semporna mempunyai kelebihan tersendiri kerana menjadi lokasi kepada beberapa destinasi pelancongan terkenal dunia termasuk Pulau Sipadan selain gugusan pulau lain yang menjadi tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, sektor perikanan dan sumber marin di daerah itu juga mempunyai potensi besar untuk dikembangkan menerusi penerokaan ekonomi biru yang disasar mampu meningkatkan hasil negeri dan pendapatan rakyat setempat.

“Semporna ini bukan saja pelancongan, tetapi sumber marin dan perikanannya juga cukup hebat. Kita mahu melihat pembangunan lebih menyeluruh termasuk aspek kebersihan, kemudahan jeti dan fasiliti lain di pulau-pulau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat pembangunan daerah Semporna ketika lawatan kerja di Pulau Mataking sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Hajiji berkata sektor pelancongan di Semporna perlu dipelihara dengan baik kerana ia merupakan khazanah penting bukan saja kepada Sabah tetapi juga Malaysia.

Katanya, pembangunan ekonomi biru turut digariskan dalam pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai antara sektor baharu yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.