Resort tanpa permit di Semporna dikompaun RM13,250

SEMPORNA: Tiga premis penginapan pelancongan di kawasan perairan Semporna dikenakan kompaun keseluruhan RM13,250 selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan pada Selasa.

Operasi melibatkan pelbagai agensi termasuk Majlis Daerah Semporna, Polis Diraja Malaysia (PDRM), MOTAC, KePKAS, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pemeriksaan tertumpu kepada beberapa premis penginapan pelancongan baharu yang dipercayai dibina dan beroperasi tanpa kelulusan sah daripada pihak berkuasa tempatan di kawasan perairan Semporna.

Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit melakukan beberapa kesalahan utama termasuk membina struktur bangunan tanpa kelulusan, menjalankan operasi tanpa lesen pihak berkuasa tempatan serta gagal mematuhi syarat kesihatan dan pengendalian makanan.

Selain itu, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah turut mengesahkan terdapat premis dibina di atas tanah tanpa pemilikan sah selain beberapa kawasan yang diluluskan untuk tujuan akuakultur dipercayai disalahgunakan sebagai resort pelancongan.

Dalam operasi sama, polis turut menahan lapan individu dipercayai pekerja binaan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.

Pihak berkuasa berkata tindakan penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pembangunan resort serta aktiviti pelancongan di kawasan perairan Semporna mematuhi undang-undang dan syarat pembangunan yang ditetapkan.