KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggugurkan keanggotaan BERSATU sebagai ahli gabungan itu, kata Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan menerusi satu mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS pada 9 Disember lalu.
Katanya, selain membincangkan mengenai pengguguran keanggotaan BERSATU dalam GRS, pihaknya juga mengekalkan kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Pengerusi gabungan itu.
“Kita menyertai Kerajaan Perpaduan atas komitmen membina kerajaan yang stabil demi kepentingan kesejahteraan rakyat dan pembangunan tanah air.
“Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ataupun partinya tidak ada hubungan dengan Perjanjian Persefahaman Kerajaan Perpaduan yang prinsip dan matlamatnya ditolak oleh parti beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Ronald yang juga Naib Presiden BERSATU dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah mendakwa pembabitan GRS dalam menandatangani perjanjian persefahaman bersama parti gabungan lain Kerajaan Perpaduan adalah tidak sah.
Katanya, ini kerana BERSATU sebagai parti pengasas dan ahli GRS tidak pernah terbabit dalam sebarang perbincangan berhubung perjanjian persefahaman itu.
Beliau turut mendakwa, BERSATU masih ahli sah dalam GRS seperti tercatat dalam perlembagaan gabungan dan Hajiji bukan lagi Pengerusi GRS yang sah kerana sudah keluar BERSATU.