KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan peranan penting media sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat ketika meraikan Aidilfitri bersama pengamal media di sini, malam tadi.
Majlis yang berlangsung di Magellan Sutera Resort itu dihadiri lebih 200 pengamal media termasuk pimpinan persatuan wartawan, ketua pengarang serta wakil pelbagai organisasi media.
Ucapan bagi pihak Hajiji disampaikan Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri, Datuk Lucy Irene Yong.
Beliau berkata, media memainkan peranan penting dalam menyampaikan dasar kerajaan secara jelas di samping menjadi saluran suara rakyat.
“Media bukan sahaja menyampaikan maklumat, tetapi juga membantu memastikan suara rakyat sampai kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa kepantasan penyampaian maklumat tidak harus mengorbankan ketepatan.
“Dalam era lambakan maklumat, media yang berkesan ialah yang menyampaikan berita sahih dan menjadi rujukan masyarakat,” katanya lagi.
Menurutnya, Pejabat Media dan Komunikasi akan terus memperkukuh kerjasama dengan media selain memastikan maklumat berkaitan kerajaan negeri disalurkan secara cepat dan tepat.
