Subsidi diesel bantu rakyat Sabah

TENOM: Keputusan kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai langkah penting dalam membantu rakyat yang banyak bergantung kepada kenderaan diesel, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, faktor geografi, jarak antara pekan dan keadaan jalan raya di Sabah menyebabkan penggunaan kenderaan diesel, khususnya pacuan empat roda, masih tinggi dalam kalangan rakyat.

“Kita ucapkan terima kasih atas kebijaksanaan Perdana Menteri mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak.

“Kebanyakan rakyat Sabah menggunakan kenderaan diesel kerana keadaan geografi dan keperluan perjalanan harian yang berbeza berbanding di Semenanjung,” katanya ketika ditemui pada rumah terbuka Aidilfitri di Tenom.

Jamawi turut berharap masyarakat di Semenanjung dapat memahami keperluan berbeza di Sabah dan Sarawak, selain mengingatkan rakyat supaya menggunakan subsidi bahan api secara berhemah.

Beliau berkata, kementeriannya juga sedang berusaha membantu petani kecil yang belum menerima subsidi bahan api dengan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Selain itu, katanya, isu kenaikan harga baja turut memberi kesan kepada petani, justeru penggunaan baja kompos digalakkan sebagai alternatif lebih mampan.

Kerajaan mengekalkan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan, sambil memperkenalkan had pembelian mengikut kategori kenderaan bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan.