TELUPID: Terdapat kepentingan drastik untuk mengubal akta baharu lebih tegas melibatkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya yang telah banyak menyumbang kemalangan maut di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, sejak sekian lama ada nyawa telah menjadi korban di atas jalan raya akibat kes langgar kerbau dan lembu tanpa sebarang tindakan diambil kepada pemiliknya.
Katanya sudah sampai masanya kementerian berkaitan mengubal undang-undang lebih tegas kepada pemilik haiwan ternakan supaya isu itu dapat ditangani.
“Tanpa disedari pemilik haiwan ternakan yang sengaja membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya adalah pembunuh senyap yang terkecuali dari tindakan undang-undang.
” Penguatkuasaan sedia ada ternyata amat lemah kerana lebih menguntungkan pemilik ternakan terbabit berbanding nyawa manusia dan kepentingan awam,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi daerah Telupid dan Tongod, semalam.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata notis yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan kepada pemilik agar ternakan dijaga dan tidak berkeliaran ternyata tidak diindahkan.
Mengulas lanjut beliau berkata, di zaman moden ini sudah tidak relevan lagi pengusaha menternak haiwan di jalan raya atau kawasan awam, sebaliknya mereka perlu lebih efisen menempatkan haiwan ternakan di satu kawasan berkurung.
Masiung menegaskan jika pengusaha digalakkan mengurung dan menjaga haiwan ternakan sudah tentu hasil ternakan mereka dapat ditingkatkan.
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, isu haiwan ternakan tanpa pengawasan bukanlah perkara baharu, malah ia sering dibincangkan dalam pihak berkuasa tempatan.
“Haiwan ternakan ini bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya, lebih dari itu ia turut merosakan kebun dan harta awam selain najisnya mengotorkan jalan dan kawasan rekreasi.
Menurut Masiung, jika kementerian berkaitan tidak memperuntukan sebarang akta, Jabatan Veterinar atau Polis perlu memberi kebenaran kepada orang awam menangkap atau merampas ternakan terbabit jika menceroboh kebun, kawasan awam atau berkeliaran di jalan raya.