GRS tidak hilang arah berikutan dakwaan rasuah – Joniston

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak hilang arah dengan dakwaan yang melibatkan kesalahan wakil rakyat gabungan berkenaan baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, jika dakwaan terbabit bertujuan merosakkan imej GRS, ia tidak akan melemahkan komitmen gabungan itu untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Katanya, perlu diingatkan Ketua Menteri merupakan Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara itu dengan teliti.

“Ketua Menteri memberi jaminan kerajaan diterajui GRS akan memberikan kerjasama penuh kerana tiada apa yang hendak disembunyikan.

“Jika dakwaan ini bertujuan mengalih perhatian kami (kerajaan yang diterajui GRS), mengapa perlu membiarkannya menjejaskan kami,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Joniston merupakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, ketelusan dan akauntabiliti adalah nilai teras GRS yang akan terus mempertahankan prinsip-prinsip berkenaan.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir tahun depan dan dakwaan seperti itu akan menimbulkan persoalan sama ada ia berniat untuk merosakkan pencapaian GRS.

“Walaupun ada desas-desus, namun GRS tetap fokus kepada apa yang benar-benar penting iaitu memajukan Sabah dan meningkatkan kehidupan rakyat negeri ini,” jelas Joniston.