Wanita warga emas rentung kebakaran rumah di Ranau

RANAU : Seorang warga emas rentung selepas terlibat dalam kebakaran melibatkan dua rumah jenis kekal di Kampung Muhibbah, Ranau di sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Penolong Penguasa Bomba Ridwan Mohd Taib berkata, mangsa seorang wanita dikenali sebagai Wong Ling Ying berumur 74 Tahun ditemui rentung di rumah pertama dalam kejadian 1.10 awal pagi semalam.

Katanya, pasukan Bomba dan penyelamat kemudiannya menyerahkan mangsa kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.20 awal pagi tadi kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian bersama sembilan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mastin Suli.

“Selepas tiba di lokasi kejadian bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran, 200′ kaki bersama dua pancutan sumber air dari jentera serta pili bomba berdekatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ridwan berkata, terdapat dua kenderaan turut terbakar melibatkan jenis Toyota Hilux Single Cab serta kereta kedua jenis Perodua Myvi.

“Pihak bomba berjaya mengawal operasi kebakaran pada jam 2.28 pagi. Selepas memastikan tiada bahaya lain di kawasan kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya 4.14 pagi tadi,” jelas Ridwan.