KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengingatkan rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu bersikap telus serta ikhlas dalam menjalin kerjasama menerusi gabungan berkenaan.
Ketua Penerangannya, Datuk Raimie Unggi berkata, gabungan GRS adalah dibentuk untuk memenuhi aspirasi rakyat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.
Katanya, setiap parti politik dalam GRS perlu telus serta ikhlas memandangkan landskap politik yang tidak stabil pada ketika ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Umno Cawangan Kampung Labau, Sepanggar di sini semalam.
Hadir sama, Menteri Datuk Yakub Khan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Timbalan Ketua Umno Sabah.
Raimi berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin agar cadangan untuk mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan politik rasmi memerlukan penelitian lebih mendalam.
“UMNO Sabah sentiasa bersikap terbuka terhadap pandangan mendaftarkan gabungan itu sebagai parti politik namun kesan baik serta buruk cadangan berkenaan perlu diambil kira sebelum dilaksanakan,” katanya.
Raimi berkata, cadangan yang dilontarkan Pengerusi Kelab Backbenchers GRS Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak Itu adalah pandangan peribadi namun Umno Sabah sedia berbincang untuk meneliti cadangan tersebut.
Sementara itu ketika berucap merasmikan Umno Cawangan Labau Sepanggar, Raimi berkata, UMNO perlu diperkasakan di peringkat akar umbi sekali gus bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15) pada bila-bila masa.
“Kita mahu Umno di peringkat cawangan bersama-sama mendokong serta menyokong segala keputusan kepimpinan atasan samada bahagian mahu pun negeri untuk menghadapi PRU15 agar untuk Umno kembali mentadbir Negeri ini,” katanya.