GRS Gagal Lagi, Mesyuarat 40 Peratus Hasil Sabah Disabotaj oleh Ketidakcekapan Sendiri – Daniel John

KOTA KINABALU : Sabah memerlukan kepimpinan yang berwibawa, berani serta komited memastikan tuntutan 40 peratus berjaya dikembalikan kepada rakyat Sabah.

Presiden Change Advocate Movement Sabah (CAMOS), Daniel John Jambun berkata, ini susulan pendedahan pengakuan mengejut Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Jeffrey Kitingan bahawa satu mesyuarat penting bagi menentukan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah yang telah lama tertangguh.

Katanya, mesyuarat dijadualkan pada 30 Jun lalu telah digagalkan akibat ‘kelemahan dalaman’ berhubung surat rasmi untuk memulakan mesyuarat tersebut, dipersetujui Kabinet Negeri, tidak pernah dihantar.

“Ini bukan kesilapan pentadbiran biasa. Ini adalah kecuaian serius yang hampir menyamai sabotaj pentadbiran.

“Ia mencerminkan realiti lebih besar yang rakyat Sabah sudah lama sedar. Kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mampu mempertahankan hak Sabah walaupun peluang sudah berada di depan mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Daniel John berkata, Jeffrey sendiri mengakui bahawa Kabinet Negeri telah bersetuju dengan tarikh tersebut namun tiada siapa yang mengambil tindakan untuk menghantar surat terbabit.

“Timbul persoalan Mengapa?….Siapa dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang gagal bertindak — dan mengapa tiada siapa yang dipertanggungjawabkan?

“Sabah Sudah Bersedia. Lokasi Sudah Disediakan. Tapi GRS Tidak Bersedia. Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dipilih sebagai lokasi. Ini membuktikan bahawa perancangan telah dibuat — namun tetap tiada apa yang berlaku,” jelas Daniel John.

Menurutnya, ketidakcekapan atau Sabotaj? Apapun Jawapannya, Sabah yang menderita.

“Jeffrey turut memberi bayangan bahawa ini bukan sekadar kecuaian— mungkin ada unsur sabotaj dalaman.

“Jika benar, ini menunjukkan betapa parahnya kelemahan dan ketidaksefahaman dalam pentadbiran GRS. Sama ada mereka tidak mampu atau tidak mahu kedua-duanya tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau berkata, tuntutan 40 peratus hasil bersih bukan sekadar angka ia adalah hak perlembagaan di bawah Perkara 112C dan 112D.

“Setelah berdekad-dekad tertangguh, inilah peluang untuk maju ke hadapan dan GRS mensia-siakannya. Rakyat Sabah berhak tahu: Siapa yang menjadi penghalang kepada hak kita?

“Kesimpulannya, Sabah tidak boleh boleh lagi boleh diharapkan….Ini bukan kali pertama GRS gagal mempertahankan hak perlembagaan Sabah tapi ini mungkin kegagalan paling tidak boleh dimaafkan,” tambahnya.

Katanya, sebuah kerajaan yang tidak mampu menghantar surat untuk mempertahankan hak negeri tidak layak terus memegang kuasa.

“Kami menuntut Penjelasan penuh daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Penjadualan semula mesyuarat dengan tarikh baharu yang diumumkan kepada umum. Tindakan kebertanggungjawaban terhadap individu yang menyebabkan kegagalan ini,” jelas Daniel John.