Gangguan Bekalan Air Di KKIA, Jejaskan Industri Pelancongan – ARMADA Sabah.

KOTA KINABALU: Isu ganggun bekalan air sehingga menggesa semua penerbangan mengisi air pesawat di tempat asal sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menjelaskan industri pelancongan di negeri ini.

Ketua Armada BERSATU Sabah, Muhammad Affan Jumahat berkata, kenyataan dikeluarkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) agak lewat selepas hanya mendengar serta mengetahui keluhan penumpang selepas tular di laman media sosial.

Katanya, KKIA merupakan pintu masuk utama kedatangan pelancong ke Sabah sewajarnya isu masalah gangguan bekalan air ini sama sekali tidak berlaku pada masa ini.

“Sudah tentu imej kerajaan negeri Sabah melalui Slogan seringkali dilaungkan iaitu ‘Sabah Maju Jaya’ sama sekali tidak menepati keadaan sebenarnya masalah air yang berlaku di seluruh negeri ini.

“Bagaimanakah pandangan pelancong luar ketika datang ke Sabah apabila menyedari isu gangguan bekalan air ini gagal ditanggani secara bijak oleh pihak pengurusan terutama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Sepatutnya MAHB bertindak awal menyediakan tangki simpanan sementara bagi mengelak kejadian seumpama ini dapat ditangani secara bijak jika berlaku gangguan seperti ini,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Affan mengulas mengenai kejadian KKIA mengalami gangguan bekalan air yang turut menjejaskan beberapa kawasan lain di Sabah.

Selain itu, MAHB turut meminta agar kedai makanan dan minuman di lapangan terbang menyediakan peralatan serta perkakas pakai buang.

Beliau berkata, selain KKIA mengalami gangguan bekalan air kerajaan negeri perlu menyelesaikan masalah Empangan Segaliud.

“Kononnya ia akan disiapkan dalam tempoh sebulan tetapi sehingga kini masih gagal berfungsi menyebabkan penduduk di sekitar Sandakan mengalami gangguan bekalan air.

“Penduduk Sabah inginkan penyelesaian dan bukannya alasan. Ini kerana masalah gangguan bekalan ini sudah berlarutan, lebih-lebih lagi pada musim perayaan.

“Saya risau jika masalah ini tidak dapat diselesaikan, dikhuatiri akan menjejaskan pelbagai sektor yang menyumbang kepada pendapatan penduduk Sabah,” katanya.