TAMPARULI : Semua pihak perlu segera menghentikan perpecahan politik sekali gus dilihat boleh menghalang terhadap usaha pembangunan serta meningkatkan tahap perpaduan di negeri ini.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) Bahagian Tamparuli, Datuk Alijus Sipil berkata, fokus ketika ini adalah untuk meningkatkan usaha kepada membangunkan Sabah demi mencapai kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
Katanya, mengikut rekod di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Sabah menyaksikan kemajuan yang sangat signifikan melalui pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pembangunan ekonomi, infrastruktur serta kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan, dengan pendekatan yang inklusif serta berlandaskan kepada integriti yang tinggi.
“Gagasan Rakyat Bahagian Tamparuli berdiri teguh bersama Ketua Menteri dalam usaha beliau membawa kestabilan politik dan kemajuan kepada negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alijus berkata, beliau percaya kesinambungan kepimpinan Ketua Menteri merupakan kunci kepada kejayaan jangka panjang di negeri ini.
“Ini khususnya dalam memperkukuhkan pembangunan ekonomi serta memperjuangkan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Dengan semangat kerjasama dan solidariti, kami yakin bahawa Ketua Menteri akan terus memimpin Sabah ke arah masa depan yang lebih cerah dan sejahtera,” jelas Alijus.
Menurutnya, selaku Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bahagian Tamparuli, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Ini sekali gus untuk terus memimpin negeri Sabah, termasuk selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) yang akan datang,” kata Alijus.