KOTA KINABALU : Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas semalam mengadakan berbuka puasa bersama-sama pelajar tahfiz sebagai salah satu program bersama rakyat.
Majlis berbuka puasa tersebut turut disertakan dengan penyampaian sumbangan raya kepada 20 pelajar Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah Masjid SDA Bandar Kota Kinabalu.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Mohamad Bahrin Abdul Karim berharap usaha Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah itu akan terus mendapat sokongan dan bantuan semua pihak khususnya warga bandaraya Kota Kinabalu.
“Majlis ini diadakan sebagai salah satu sumbangan kita untuk lebih dekat dengan rakyat selain dapat mengeratkan silaturahim dengan pelbagai pihak,” katanya selepas majlis berkenaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini..
Turut hadir, Penolong Bendahari Golden Lim, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas Halizah Din, Ketua Pemuda Syahmee Mohd Ron, Ketua Beliawanis Noor Azee Ashikeen Asngari, ahli-ahli Gagasan Rakyat Likas serta kepimpinan peringkat bahagian.
Bahrin berkata, aktiviti-aktiviti pengimarahan masjid tidak sewajarnya tertumpu kepada golongan warga emas semata-mata tetapi perlu libatkan kepada golongan generasi muda dan kaum wanita.
“Hal ini penting bagi memastikan fungsi dan peranan masjid sebagai pusat penyatuan ummah dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Saya juga berharap pusat ini mampu melahirkan lebih ramai golongan tahfiz dan imam muda di kawasan berkenaan,” katanya.
Jelas beliau, imam muda ini boleh membantu untuk mengimamkan solat terutamanya di kampung sekiranya khidmat mereka diperlukan berikutan ketiadaan imam di kampung-kampung tertentu.
Malah katanya, mereka juga dapat dijadikan contoh dalam membentuk akhlak yang baik dalam kalangan remaja lain terutama dalam usaha mengekang pelbagai masalah sosial masa kini.
“Ini merupakan cadangan saya dan ianya salah satu usaha menarik lebih ramai golongan muda mendekati masjid dan surau serta memberi peluang baharu kepada mereka untuk menonjolkan kepimpinan dengan menjadi imam,” ujarnya.