FSSA UMS Teroka Jalinan Kerjasama Dengan Syarikat Teknologi Tinggi Dari China

KOTA KINABALU: Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpeluang meneroka kerjasama dengan Kibing Solar, salah sebuah syarikat dari China yang merupakan syarikat berteknologi tinggi berintegrasikanpenyelidikan dan pembangunan (R&D), pengeluaran dan jualan photovoltaic glass serta industri tenaga baharu.

Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau berkata, rangkaian kerjasama ini akan merangkumi pihak industri dan juga komuniti.

Melalui syarikat yang didaftarkan di Sabah iaitu Sbh KibingNew Materials (M) Sdn. Bhd., syarikat industri tersebut telah menyatakan hasrat dan minat untuk mengadakan jalinan kerjasama dengan pihak FSSA dalam bidang penyelidikan, mobiliti pelajar dan juga latihan industri pelajar.

Pihak FSSA turut menyampaikan hasrat berkolaborasi dalam memberikan latihan Bahasa iaitu Bahasa Mandarin, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu kepada alumni pelajar China dan kakitangan Kibing Solar,” katanya dalam satu kenyataan.

Jualang memaklumkan perkara tersebut merupakan inti perbincangan ketika kunjungan daripada pihak Sbh Kibing Solar Materials (M) Sdn. Bhd. yang terdiri daripada Pengarah Sumber Manusia, Julia Wang; Pengurus Sumber Manusia, Zou Qiankun; dan Pengarah Perhubungan Awam, Eve Charlie ke FSSA baru-baru ini.

“Turut dibincangkan pada pertemuan ini peranan fakulti dalam membantu bidang penyelidikan dengan kepakaran yang ada serta penglibatan beberapa jabatan dalam UMS seperti Institut Confucius, Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri serta Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global.

“Pihak Kibing Solar juga berharap hubungan di antara kedua-dua pihak dapat direalisasikan dengan memeterai Surat Niat (LOI) dan juga Memorandum Persefahaman (MOU) dalam masa terdekat,” ujar beliau.