FAMA buka 797 outlet pemasaran untuk beri peluang usahawan adakan jualan musim sambutan Aidilfitri – Ronald

KUCHING: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka 797 outlet pemasaran di seluruh negara bagi memberi peluang kepada usahawan untuk mengadakan jualan semasa musim sambutan Aidilfitri.

Outlet ini terdiri daripada Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Agrobazaar Rakyat (ABR), Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), My Farm Outlet (MFO) dan Medan Niaga Satok (MNS).

Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata konsep outlet-outlet pemasaran ini adalah bertujuan bagi memberi peluang kepada usahawan untuk mengadakan jualan semasa musim sambutan Aidilfitri yang mendapat permintaan tinggi dari kalangan pengunjung.

Pada masa sama, katanya pengguna juga boleh mendapatkan barangan keperluan perayaan Aidilfitri di outlet fizikal dengan penjimatan pembelian terus dari pengeluar.

Menurutnya selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-kuih untuk keperluan Hari Raya Aidilfitri yang turut dijual di semua outlet pemasaran ini.

“MAFI melalui FAMA akan memastikan bekalan di setiap lokasi ini mencukupi dan para pengguna tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan keperluan.

“MAFI memberi jaminan bekalan daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa mencukupi untuk sambutan Aidilfitri dan pengguna tidak akan menghadapi masalah mendapatkan barang keperluan itu memandangkan persediaan awal memastikan kelangsungan bekalan sentiasa dibuat oleh Jabatan dan Agensi di bawah MAFI,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Medan Niaga Satok (MNS), hari ini.

Ronald berkata dengan pengoperasian 797 outlet pemasaran ini melalui Program Jualan Semarak Syawal pada kali ini, seramai 15,391 usahawan akan mendapat manfaat melalui penyediaan ruangruang jualan dan program promosi khas Syawal.

Katanya nilai jualan di outlet pemasaran yang disediakan ini disasarkan akan mencecah sehingga RM25 juta manakala nilai jualan MNS dijangka akan mencapai sebanyak RM1 juta sepanjang jualan semarak syawal iaitu bermula hari ini hingga 2 Mei.

MNS adalah projek usahasama antara FAMA dengan pihak Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Perumahan Sarawak.

Projek ini menyediakan sebuah pasar yang berkonsep moden, bersih, teratur dan lengkap dengan sistem pengurusan sisa buangan yang terkini yang dibina bertujuan menggantikan Pasar Satok di lokasi Jalan Satok yang makin usang dan tidak lagi sesuai berikutan masalah saliran, persekitaran yang kotor dan kesesakan lalu lintas.

Projek ini telah menyediakan 995 lot bagi semua komponen utama dengan jumlah peserta seramai 947 orang merangkumi Blok Kekal, Pasar Minggu, Pasar Borong dan Benteng Satok.

Ianya beroperasi setiap hari dan beroperasi sepanjang tahun 2021 dengan mencatat nilai jualan sebanyak RM48 juta.